Sabtu, 7 Mei 2016

Pengenalan Dunia Disleksia

APA ITU DISLEKSIA ?


Disleksia berasal dari perkataan Yunani iaitu "DYN" bermakna susah, dan "LEXIA"  bermakna tulisan. Disleksia bukannya satu penyakit, tetapi merupakan salah satu gangguan dalam pembelajaran yang biasanya dialami oleh kanak-kanak. Lazimnya, masalah pembelajaran yang dihadapi adalah seperti membaca, menulis, mengeja, dan kemahiran mengira. Oleh itu dyslexia merujuk kepada mereka yang menghadapi masalah untuk membaca dan menulis walaupun mempunyai daya pemikiran yang normal.

Mereka yang mempunyai Disleksia bukannya menghadapi kecacatan malah sebahagian daripada orang-orang yang terkenal juga mempunyai disleksia. Sesetengah mereka yang mempunyai keadaan disleksia mempunyai kesukaran untuk menyebut perkataan yang panjang, dan ada yang sukar mempelajari turutan seperti nama bulan, dan sifir. Setiap orang dengan disleksia mempunyai masalah yang tidak serupa dengan orang lain dengan disleksia.

Selain itu, terdapat juga perkataan lain yang berkaitan dengan disleksia. Antaranya ialah :- 

i. Dyscalculia (Diskalkulia) iaitu merujuk kepada seseorang disleksis yang bermasalah dalam pengiraan ataupun Matematik.
                                                       
                                          Gambar 1 : Kanak-kanak yang sukar untuk mengira 

ii. Dysgraphia (Disgrafia) iaitu merujuk kepada seseorang disleksis yang bermasalah dalam bahasa.
                                               
                               Gambar 2 : Contoh tulisan kanak-kanak dysgrafia


iii. Dyspraxia (Dispraksia) iaitu seseorang disleksis yang bermasalah dalam koordinasi motor mata dan tangan.

iv. Apraksia iaitu seorang murid yang mengalami masalah dalam mengeluarkan bunyi-bunyi bahasa. 

Berdasarkan kajian yang dijalankan, kanak-kanak lelaki lebih banyak menghidap disleksia berbanding kanak-kanak perempuan. Dalam laporan Kementerian Kesihatan Malaysia 2009, dianggarkan 4-8% pelajar sekolah mengalami masalah pembelajaran disleksia. Kesimpulannya, disleksia merupakan satu jenis gangguan atau kecelaruan dalam sistem otak yang menyebabkan kanak-kanak sukar untuk mengeja, membaca, mengira dan menulis.

CIRI-CIRI DSLEKSIA 

Kebiasaannya disleksia dapat dikenalpasti pada peringkat awal persekolahan mereka. Ciri-ciri kanak-kanak disleksia dibahagikan kepada dua peringkat iaitu pada peringkat prasekolah dan peringkat sekolah rendah (6-12 tahun).
     Pada peringkat prasekolah, kanak-kanak mempunyai kemahiran bertutur yang lambat dan sukar untuk memahami arahan. Mereka sangat suka mengganti perkataan semasa bercakap dan tidak suka duduk diam.
      Kanak-kanak ini juga mempunyai kemahiran motor kasar dan motor halus yang lemah. Mereka tidak boleh mengikat tali kasut dengan betul. Mereka sangat sukar untuk mengimbangkan badan mereka dan kadang-kadang mereka mudah terjatuh semasa menaiki tangga. Kanak-kanak disleksia juga sangat suka mengganti perkataan dengan perkataan lain serta hiperaktif.
       Kanak-kanak ini seringkali terlupa kepada nama-nama benda atau matapelajaran yang dipelajari di sekolah. Oleh sebab yang demikian, murid disleksia dianggap “bodoh” oleh sesetengah guru kerana mereka sukar mengingati benda-benda yang diajar oleh guru. Kesukaran mengingat ini terjadi kerana kecelaruan sistem dan fungsi pada otak dan menyebabkan murid disleksia seringkali ketinggalan dalam mata pelajaran.
        Namun begitu, kanak-kanak disleksia mempunyai semangat ingin tahu yang tinggi dan berminat terhadap perkara-perkara baru. Mereka sangat suka bertanya banyak soalan kerana berminat untuk mengetahui sesuatu perkara. 

Kanak-kanak disleksia sekolah rendah pula terbahagi kepada dua peringkat iaitu :-

i) 6 hingga 9 tahun 
- Kemahiran membaca, menulis dan mengeja yang lemah dan suka menterbalikkan perkataan, huruf dan nombor
- Menggunakan jari untuk mengira dan membaca 
- Keliru dengan kiri dan kanan 
- Tulisan cermin atau terbalik 

ii) 9 hingga 12 tahun
- Kesilapan membaca, mengeja dan lemah dalam kefahaman 
- Mengambil masa yang panjang untuk menyiapkan latihan
- Kesukaran menyalin maklumat dipapan putih atau buku teks 
- Sukar mengikuti arahan lisan yang panjang 
- Kelihatan tidak terurus semasa berada dirumah atau sekolah 
- Kurang keyakinan dan menghadapi masalah tekanan jiwa

Sekolah Menengah
- Kesukaran membaca dan terkeliru dengan perkataan dan ejaan yang tidak konsisten 
- Kesukaran menulis karangan 
- Keliru dengan nombor-nombor dan arahan oral 
- Kesukaran mempelajari bahasa lain 
- Lemah dalam kefahaman dan tidak mempunyai ramai kawan 
- Jenis orang yang suka senyap 
- Bercakap dengan nada yang kuat atau menjerit daripada konsisten 
- Kurang kemahiran bersosial 

JENIS-JENIS DISLEKSIA 

Disleksia boleh dikategorikan kepada tiga bahagian iaitu :

(i) Disleksia visual (penglihatan) 
Kesukaran utama yang dihadapi ialah untuk mengigat dan mengenal abjad serta konfugirasi perkataan. Simbol-simbol perkataan yang dicetak juga sukar untuk diterjemahkan. Kemungkinan untuk melihat abjad-abjad tertentu atau sebahagian perkataan adalah secara terbalik. Sebagai contoh, mereka keliru dengan huruf b – d, c – e, j – g, p – q, m – w, dan m – n. 

(ii) Disleksia auditori (pendengaran) 
Kesukaran untuk mengingat bunyi abjad, menganalisis bunyi mengikut suku kata perkataan dan menyusun atau menggabungkan suku kata bagi menyembunyikan perkataan. Bunyi percakapan yang tuturkan secara halus juga tidak dapat dibezakan. Masalah untuk membezakan bunyi vokal dengan konsonan juga dihadapi oleh disleksia auditori. Sebagai contoh, mereke keliru dengan bunyi huruf seperti h – s, m – n, f – s, b – d, b – p, j – g dan t – d. 

(iii) Disleksia visual (auditori) 
Disleksia jenis ini merupakan disleksia yang paling teruk kerana melibatkan kedua-dua deria iaitu deria penglihatan dan pendengaran. Ia melibatkan kesukaran mambaca yang amat teruk dan ini disebabkan oleh kelemahan untuk memproses tulisan secara visual dan audio.

PUNCA-PUNCA DISLEKSIA

Mengikut Mercer (1997), Hammond dan Hughes (1996) dan Spaafford dan Grosser (1996), antara punca-punya terjadinya disleksia ialah melibatkan tiga faktor iaitu keturunan atau genetik, biologi dan kematangan. 
i) Keturunan atau genetik 
Kebanyakan kes, terdapat beberapa ahli keluarga yang mengalami masalah-masalah yang sama. Kemungkinan punca ini boleh diwarisi yang membezakan adalah tahap keterukkannya. Terdapat kajian yang dijalankan telah membuktikan disleksia disebabkan oleh kromosom 15,1 dan 16 yang boleh diperturunkan secara turun temurun. 
ii) Biologi 
Pada kebiasaannya, sejarah kanak-kanak disleksia semasa dilahirkan adalah tidak cukup bulan, kekurangan oksigen semasa dilahirkan atau kelahiran yang amat sukar. Faktor-faktor ini menjadi punca kelambatan atau ketidaksempurnaan kepada perkembangan mereka. Sebahagian daripada kerosakan otak akan menyebabkan kanak-kanak ini mengalami masalah belajar dan kerosakan ini adalah minimum. 
iii) Kematangan 
Terdapat kanak-kanak yang lambat perkembangan pada bahagian tertentu dalam sistem saraf mereka. Pada kebiasaannya kanakkanak lelaki lambat matang berbanding kanak-kanak perempuan. Kelewatan kematangan pada kanak-kanak ini merupakan salah satu kemungkinan punca terjadinya disleksia. 
Menurut Rourke (1991), kanak-kanak yang mengalami disleksia mempunyai pelbagai defisit atau kekurangan yang disebabkan oleh kurang fungsian (dysfunction) otak. Bukan bermakna kanak-kanak itu mengalami kecederaan atau kerosakan di bahagian otak tetapi otak kanak-kanak disleksia beroperasi secara berbeza berbanding kanak-kanak normal yang lain. 
Menurut Galaburda dan Tallal (1991), sistem pemprosesan auditori dan visual pada otak individu yang mengalami disleksia selalunya lebih kecil sebanyak 27 % berbanding dengan individu normal.

LANGKAH MEMBANTU KANAK-KANAK DISLEKSIA

a) Membawa berjumpa dengan pakar pisikologi pembelajaran atau psikologi klinikal pada peringkat awal bagi tujuan menanganinya.
b) Membantu kanak-kanak memahami bahawa walaupun dia mungkin berbeza dalam banyak hal tetapi tetap disayangi.
c) Menambah dan menggalakkan sebarang kemahiran istimewa bakat atau kebolehan semulajadi
d) Sentiasa sabar melayani karenah mereka yang mana biasanya kecewa dengan kegagalan yang berterusan.
e) Membacakan cerita untuk anak-anak serta menjadi ahli persatuan sokongan ibu bapa
f) Memberikan bantuan dan latihan pembelajaran sebelum memasuki tadika.
g) Mengamalkan suasana kasih sayang serta bersikap prihatin dalam mengekalkan suasana harmoni
h) Membuat aktiviti berkeluarga serta memberi bimbingan dalam bidang akademik
i) Memberi kebebasan yang terbatas serta nasihat untuk mengenal identiti sendiri
j) Mengamalkan konsep diri diberi ganjaran atau pujian contohnya bagus, pandai


Video mengenai kanak-kanak disleksia




Tiada ulasan:

Catat Ulasan