Rabu, 1 Jun 2016

Latar Belakang Pendidikan Khas

Bahagian Pendidikan Khas merupakan bahagian yang bertanggungjawab terhadap pendidikan bagi murid berkeperluan khas menerusi Program Pendidikan Khas. Program pendidikan untuk murid berkeperluan khas bermula sejak sebelum merdeka bagi murid berkeperluan khas masalah penglihatan dan masalah pendengaran. Penglibatan kerajaan dalam pendidikan murid berkeperluan khas masalah penglihatan bermula dengan penubuhan Sekolah Pendidikan Khas Princess Elizabeth di Johor Bahru di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat pada tahun 1948. Manakala penglibatan kerajaan bagi pendidikan murid bermasalah pendengaran pula bermula dengan pembukaan Sekolah Kanak-kanak Pekak Persekutuan di Pulau Pinang pada tahun 1954. Selepas merdeka, kerajaan telah memperluaskan program pendidikan khas ke sekolah-sekolah biasa melalui Program Pendidikan Khas Integrasi (dahulu dikenali sebagai Program Percantuman).

  Program Pendidikan Khas telah berkembang di bawah kelolaan Kementerian Pelajaran Malaysia semenjak sistem pendidikan kebangsaan diwujudkan pada tahun 1957. Satu unit khas yang dikenali sebagai Unit Pelajaran Khas telah ditubuhkan pada tahun 1964, ditempatkan di Bahagian Sekolah KPM, sehinggalah diganti dengan Jabatan Pendidikan Khas KPM mulai Oktober 1995. Dengan adanya Jabatan ini di peringkat KPM, Jabatan-Jabatan Pendidikan Negeri (sekarang Jabatan Pelajaran Negeri) telah mewujudkan Unit Pendidikan Khas di jabatan masing-masing. Dengan penstrukturan semula KPM, Jabatan Pendidikan Khas kini  dikenali sebagai Bahagian Pendidikan Khas.


Jumaat, 20 Mei 2016

Program Pendidikan Khas Integrasi

Apa itu Program Pendidikan Khas Integrasi ?

Sekolah-sekolah yang mempunyai kelas untuk murid khas yang ditadbir sepenuhnya oleh Jabatan Pelajaran Negeri , Kementerian Pelajaran Malaysia

Siapa yang boleh mendaftar di Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI)?
 Murid bermasalah penglihatan
 Murid bermasalah pendengaran
 Murid bermasalah pembelajaran

Pendidikan khas merujuk pada pendidikan bagi kanak-kanak luar biasa, iaitu 'kanak-kanak yang dari segi intelek, fizikal, sosial atau emosi, tidak mencapai pertumbuhan dan penyuburan biasa, hinggakan mereka tidak mendapat faedah sepenuhnya daripada rancangan sekolah biasa' (Chua,1982).

Pendidikan Khas ialah subsistem dalam sistem pendidikan, yang Bertanggungjawab mengadakan peruntukkan kemudahan dan keistimewaan bagi membantu kanak-kanak dan belia yang bersifat luar biasa. (Gearhart dan Weishahn,1980).

Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) merupakan suatu program pendidikan bagi murid berkeperluan   pendidikan khas (MBK) yang hanya dihadiri oleh MBK di kelas khas di sekolah Kerajaan  atau sekolah bantuan kerajaan ( KPM 2013) 

Khamis, 19 Mei 2016

Mengenali Dunia Sindrom Down

PENGENALAN SINDROM DOWN
Sindrom Down disebabkan kelainan pada kromosom. Kromosom adalah merupakan serat-serat khusus yang terdapat didalam setiap sel didalam badan manusia dimana terdapat bahan-bahan genetik yang menentukan sifat-sifat seseorang. Bayi normal dilahirkan dengan jumlah 46 kromosom (23 pasang) iaitu hanya sepasang kromosom 21 (2 kromosom 21). Sindrom Down yang kerap terjadi ialah disebabkan oleh kelebihan kromosom 21 dimana 3 kromosom 21 menjadikan jumlah kesemua kromosom ialah 47 kromosom. Keadaan ini boleh melibatkan kedua-dua jantina (lelaki dan perempuan).

APAKAH YANG MENYEBABKAN SINDROM DOWN ?
Bagi ibu-ibu yang berumur 35 tahun ke atas semasa mengandung mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk melahirkan anak Sindrom Down. 95% Sindrom Down disebabkan oleh kelebihan kromosom 21. Keadaan ini disebabkan oleh "non-dysjunction" kromosom yang terlibat iaitu kromosom 21 dimana semasa proses pembahagian sel secara mitosis pemisahan kromosom 21 tidak berlaku dengan sempurna. 
Di kalangan 5% lagi kanak-kanak Sindrom Down disebabkan oleh mekanisma yang dinamakan "Translocation". Keadaan ini biasanya berlaku oleh pemindahan bahan genetik dari kromosom 14 kepada kromosom 21. Bilangan kromosomnya normal iaitu 23 pasang atau jumlah kesemuanya 46 kromosom. Mekanisma ini biasanya berlaku pada ibu-ibu di peringkat umur yang lebih muda. Sebahagian kecil Sindrom Down disebabkan oleh mekanisma yang dinamakan "mosaic".

APAKAH CIRI-CIRI SINDROM DOWN ?

Kanak-kanak Sindrom Down mempunyai ciri-ciri fizikal yang unik :
Sifat pada kepala, muka dan leher
Mereka mempunyai iras muka yang hampir sama seperti muka orang Mongol. Pangkal hidungnya kemek. Jarak diantara 2 mata jauh dan berlebihan kulit di sudut dalam. Saiz mulut adalah kecil dan saiz lidah yang besar menyebabkan lidah selalu terjelir. Pertumbuhan gigi lambat dan tidak teratur. Paras telinga adalah lebih rendah. Kepala biasanya lebih kecil dan agak leper dari bahagian depan ke belakang. Lehernya agak pendek.
Sifat pada tangan dan lengan
Sifat-sifat yang jelas pada tangan adalah mereka mempunyai jari-jari yang pendek dan jari kelingking membengkok ke dalam. Tapak tangan mereka biasanya hanya terdapat satu garisan urat dinamakan "simian crease".
Sifat pada kaki
Kaki agak pendek dan jarak di antara ibu jari kaki dan jari kaki kedua agak jauh terpisah dan tapak kaki.
Sifat pada otot
Kanak-kanak Sindrom Down mempunyai otot yang lemah menyebabkan mereka menjadi lembik dan menghadapi masalah lewat dalam perkembangan motor kasar.

Gambar menunjukkan beberapa contoh kanak-kanak yang mengalami Sindrom Down. 

MASALAH-MASALAH YANG BERKAITAN 
Kanak-kanak Sindrom Down mungkin mengalami masalah kelainan organ-organ dalaman terutama sekali jantung dan usus.
Masalah jantung
Masalah jantung yang paling kerap berlaku ialah jantung berlubang seperti Ventricular Septal Defect (VSD) iaitu jantung berlubang diantara bilik jantung kiri dan kanan atau Atrial Septal Defect (ASD) iaitu jantung berlubang diantara atria kiri dan kanan. Masalah lain adalah termasuk salur ateriosis yang berkekalan (Patent Ductus Ateriosis / PDA). Bagi kanak-kanak sindrom down boleh mengalami masalah jantung berlubang jenis kebiruan (cynotic spell) dan susah bernafas.
Masalah usus
Masalah usus biasanya dikesan semasa awal kelahiran seperti:
a. Salur esofagus yang tidak terbuka (atresia) ataupun tiada saluran sama sekali di bahagian tertentu esofagus. Biasnya ia dapat dekesan semasa berumur 1 - 2 hari dimana bayi mengalami masalah menelan air liurnya atau di kesan oleh doktor atau jururawat kerana mereka tidak dapat memasukkan tiub untuk menyedut air perut semasa baru lahir.
b. Salur usus kecil duodenum yang tidak terbuka penyempitan yang dinamakan "Hirshprung Disease". Keadaan ini disebabkan sistem saraf yang tidak normal di bahagian rektum. Biasanya bayi akan mengalami masalah pada hari kedua dan seterusnya selepas kelahiran di mana perut membuncit dan susah untuk buang air besar.
c. Salur usus rectum atau bahagian usus yang paling akhir (dubur) yang tidak terbuka langsung atau penyempitan yang dinamakan "Hirshprung Disease". Keadaan ini disebabkan sistem saraf yang tidak normal di bahagian rektum. Biasanya bayi akan mengalami masalah pada hari kedua dan seterusnya selepas kelahiran di mana perut membuncit dan susah untuk buang air besar.
Masalah perubatan yang lain
Kanak-kanak Sindrom Down mungkin mengalami masalah Hipotiroidism iaitu kurang hormon tairoid. Masalah ini berlaku di kalangan 10% kanak-kanak Sindrom Down. Kanak-kanak Sindrom Down mempunyai ketidakstabilan di tulang-tulang kecil di bahagian lener bolih menyebabkan berlakunya penyakit lumpuh (atlantoaxial instability) dimana ianya berlaku di kalangan 10% kanak-kanak Sindrom Down. Sebahagian kecil mereka mempunyai risiko untuk mengalami kanser sel darah putih iaitu leukimia.
Masalah perkembangan pembelajaran
Kanak-kanak Sindrom Down secara keseluruhannya mengalami kelewatan perkembangan dan kerencatan akal. Pada peringkat awal pembesaran mereka mengalami masalah lambat dalam semua aspek perkembangan iaitu lambat
untuk berjalan, perkembangan motor halus dan bercakap. Perkembangan sosial mereka agak menggalakkan menjadikan mereka digemari oleh ahli keluarga. Mereka juga mempunyai sifat periang. Perkembangan motor kasar mereka lambat disebabkan otot-otot yang lembik tetapi mereka akhirnya berjaya melakukan hampir semua pergerakan kasar.

APAKAH KAITAN USIA IBU BAPA DENGAN SINDROM DOWN ? 

Terdapat satu perkaitan antara usia ibu yang lanjut dengan Sindrom Down :Umur ibu Risiko mendapat anak Sindrom Down 25 1:1500 30 1:1000
35 1:360
40 1:100
45 1:50
Tiada kaitan Sindrom Down dengan usia bapa setakat ini.

APAKAH PUNCA KEMATIAN KANAK_KANAK SINDROM DOWN ? 

Kadar kematian kanak-kanak Sindrom Down adalah paling tinggi pada umur 2 tahun yang pertama. Punca kematian yang paling ketara ialah akibat penyakit jantung kongenital dan sistem pernafasan.Lebih kurang 40-60% kanak-kanak Sindrom Down berpenyakit jantung kongenital dapat hidup hingga umur 10 tahun. Tanpa penyakit kardiak, jangka umur hidup mereka ialah 40 tahun.Lain-lain penyakit serius termasuk dislokasi atlantoaksial (tulang belakang di antara rangka kepala dengan leher) khususnya dengan aktiviti sukan yang cergas dan menyebabkan lumpuh akibat saraf tunjang tertekan. Penyakit leukemia juga meragut nyawa sebanyak 5% daripada kanak-kanak Sindrom Down.

BOLEHKAH KANAK-KANAK SINDROM DOWN DAPAT HIDUP BERDIKARI ? 

Kebolehan kanak-kanak Sindrom Down amat berbeza, daripada yang cukup serba boleh kepada yang terencat serius. Oleh yang demikian, kebolehan setiap kanak-kanak Sindrom Down harus ditentukan secara kes demi kes. Kebanyakkan kanak-kanak Sindrom Down dapat hidup berdikari, kalau mereka mendapat sokongan dan peluang yang mencukupi. Mereka seperti manusia lain, juga perlu mengatasi masalah kehidupan sehariannya. Mereka juga harus diberi segala kasih sayang dan kepercayaan yang ibu bapa dan kakitangan perubatan sanggup berikan, untuk membolehkan mereka terus berkembang maju.

BAGAIMANAKAH SUASANA MEMBESARKAN KANAK-KANAK SD ?

-Suasana persekitaran penting, membantu pembesaran kanak-kanak SD. Ketenangan dan kemesraan penjaga dapat merangsang penerimaan pembelajaran lebih cepat.
 -Alat permainan perlu sesuai teknik pengajaran. Ia perlu ditambah untuk mengelak kebosanan mereka.
-Kanak-kanak SD perlu berasa selamat, disayangi dan diterima keluarga serta masyarakat. Ini membantu membentuk imej diri positif dan mendorong mereka belajar.
-Disiplin perlu diterap pada usia awal. Nyatakan had tingkah laku yang dibenar dan tidak dibenarkan.
-Perlu beri pujian kepada setiap kecermerlangan dicapai.

APAKAH LANGKAH YANG PERLU DILAKUKAN UNTUK MEMBANTU KANAK-KANAK SD BERTUTUR ? 

-Adakan kegiatan atau permainan bahasa yang dapat menarik perhatian mereka.
-Cuba dapatkan perhatian sebelum bercakap dengan mereka.
-Jangan terlalu banyak bertanya. Tunggu tindak-balas mereka dan beri mereka peluang menjawab.
-Guna ayat pendek dan bahasa mudah difahami.
-Sambil bertutur, buat aksi atau lakonan.
-Latihan berterusan.
 -Pilih masa sesuai, terutama ketika mereka masih segar dan aktif.
-Tumpu kepada satu perkara. Beri masa, peluang dan latihan sebelum beralih kepada latihan baru.
-Guna setiap peluang, berinteraksi dengan mereka.
-Selalu beri tindak-balas kepada setiap percakapan mereka.

Peringatan kepada ibu bapa:
-Cara terbaik kanak-kanak SD mempelajari perkara baru, melalui boneka.
-Pilih alat permainan sesuai tahap perkembangan kanak-kanak.
-Sedia bahan sampingan untuk permainan khayalan.
-Jangan terlalu memaksa mereka melakukan sesuatu.
-Boneka pilihan atau kesayangan, dapat dijadikan pendorong.
-Apabila kanak-kanak SD boleh bermain dengan alat permainan mudah, mereka boleh dibiarkan bermain sendirian.
-Jangan biar kanak-kanak SD bersendirian. Mereka perlu bergaul, memberi dan menerima tindak-balas daripada rakan.



                                           
Video mengenai kanak-kanak Sindrom Down 



Sabtu, 7 Mei 2016

Pengenalan Dunia Disleksia

APA ITU DISLEKSIA ?


Disleksia berasal dari perkataan Yunani iaitu "DYN" bermakna susah, dan "LEXIA"  bermakna tulisan. Disleksia bukannya satu penyakit, tetapi merupakan salah satu gangguan dalam pembelajaran yang biasanya dialami oleh kanak-kanak. Lazimnya, masalah pembelajaran yang dihadapi adalah seperti membaca, menulis, mengeja, dan kemahiran mengira. Oleh itu dyslexia merujuk kepada mereka yang menghadapi masalah untuk membaca dan menulis walaupun mempunyai daya pemikiran yang normal.

Mereka yang mempunyai Disleksia bukannya menghadapi kecacatan malah sebahagian daripada orang-orang yang terkenal juga mempunyai disleksia. Sesetengah mereka yang mempunyai keadaan disleksia mempunyai kesukaran untuk menyebut perkataan yang panjang, dan ada yang sukar mempelajari turutan seperti nama bulan, dan sifir. Setiap orang dengan disleksia mempunyai masalah yang tidak serupa dengan orang lain dengan disleksia.

Selain itu, terdapat juga perkataan lain yang berkaitan dengan disleksia. Antaranya ialah :- 

i. Dyscalculia (Diskalkulia) iaitu merujuk kepada seseorang disleksis yang bermasalah dalam pengiraan ataupun Matematik.
                                                       
                                          Gambar 1 : Kanak-kanak yang sukar untuk mengira 

ii. Dysgraphia (Disgrafia) iaitu merujuk kepada seseorang disleksis yang bermasalah dalam bahasa.
                                               
                               Gambar 2 : Contoh tulisan kanak-kanak dysgrafia


iii. Dyspraxia (Dispraksia) iaitu seseorang disleksis yang bermasalah dalam koordinasi motor mata dan tangan.

iv. Apraksia iaitu seorang murid yang mengalami masalah dalam mengeluarkan bunyi-bunyi bahasa. 

Berdasarkan kajian yang dijalankan, kanak-kanak lelaki lebih banyak menghidap disleksia berbanding kanak-kanak perempuan. Dalam laporan Kementerian Kesihatan Malaysia 2009, dianggarkan 4-8% pelajar sekolah mengalami masalah pembelajaran disleksia. Kesimpulannya, disleksia merupakan satu jenis gangguan atau kecelaruan dalam sistem otak yang menyebabkan kanak-kanak sukar untuk mengeja, membaca, mengira dan menulis.

CIRI-CIRI DSLEKSIA 

Kebiasaannya disleksia dapat dikenalpasti pada peringkat awal persekolahan mereka. Ciri-ciri kanak-kanak disleksia dibahagikan kepada dua peringkat iaitu pada peringkat prasekolah dan peringkat sekolah rendah (6-12 tahun).
     Pada peringkat prasekolah, kanak-kanak mempunyai kemahiran bertutur yang lambat dan sukar untuk memahami arahan. Mereka sangat suka mengganti perkataan semasa bercakap dan tidak suka duduk diam.
      Kanak-kanak ini juga mempunyai kemahiran motor kasar dan motor halus yang lemah. Mereka tidak boleh mengikat tali kasut dengan betul. Mereka sangat sukar untuk mengimbangkan badan mereka dan kadang-kadang mereka mudah terjatuh semasa menaiki tangga. Kanak-kanak disleksia juga sangat suka mengganti perkataan dengan perkataan lain serta hiperaktif.
       Kanak-kanak ini seringkali terlupa kepada nama-nama benda atau matapelajaran yang dipelajari di sekolah. Oleh sebab yang demikian, murid disleksia dianggap “bodoh” oleh sesetengah guru kerana mereka sukar mengingati benda-benda yang diajar oleh guru. Kesukaran mengingat ini terjadi kerana kecelaruan sistem dan fungsi pada otak dan menyebabkan murid disleksia seringkali ketinggalan dalam mata pelajaran.
        Namun begitu, kanak-kanak disleksia mempunyai semangat ingin tahu yang tinggi dan berminat terhadap perkara-perkara baru. Mereka sangat suka bertanya banyak soalan kerana berminat untuk mengetahui sesuatu perkara. 

Kanak-kanak disleksia sekolah rendah pula terbahagi kepada dua peringkat iaitu :-

i) 6 hingga 9 tahun 
- Kemahiran membaca, menulis dan mengeja yang lemah dan suka menterbalikkan perkataan, huruf dan nombor
- Menggunakan jari untuk mengira dan membaca 
- Keliru dengan kiri dan kanan 
- Tulisan cermin atau terbalik 

ii) 9 hingga 12 tahun
- Kesilapan membaca, mengeja dan lemah dalam kefahaman 
- Mengambil masa yang panjang untuk menyiapkan latihan
- Kesukaran menyalin maklumat dipapan putih atau buku teks 
- Sukar mengikuti arahan lisan yang panjang 
- Kelihatan tidak terurus semasa berada dirumah atau sekolah 
- Kurang keyakinan dan menghadapi masalah tekanan jiwa

Sekolah Menengah
- Kesukaran membaca dan terkeliru dengan perkataan dan ejaan yang tidak konsisten 
- Kesukaran menulis karangan 
- Keliru dengan nombor-nombor dan arahan oral 
- Kesukaran mempelajari bahasa lain 
- Lemah dalam kefahaman dan tidak mempunyai ramai kawan 
- Jenis orang yang suka senyap 
- Bercakap dengan nada yang kuat atau menjerit daripada konsisten 
- Kurang kemahiran bersosial 

JENIS-JENIS DISLEKSIA 

Disleksia boleh dikategorikan kepada tiga bahagian iaitu :

(i) Disleksia visual (penglihatan) 
Kesukaran utama yang dihadapi ialah untuk mengigat dan mengenal abjad serta konfugirasi perkataan. Simbol-simbol perkataan yang dicetak juga sukar untuk diterjemahkan. Kemungkinan untuk melihat abjad-abjad tertentu atau sebahagian perkataan adalah secara terbalik. Sebagai contoh, mereka keliru dengan huruf b – d, c – e, j – g, p – q, m – w, dan m – n. 

(ii) Disleksia auditori (pendengaran) 
Kesukaran untuk mengingat bunyi abjad, menganalisis bunyi mengikut suku kata perkataan dan menyusun atau menggabungkan suku kata bagi menyembunyikan perkataan. Bunyi percakapan yang tuturkan secara halus juga tidak dapat dibezakan. Masalah untuk membezakan bunyi vokal dengan konsonan juga dihadapi oleh disleksia auditori. Sebagai contoh, mereke keliru dengan bunyi huruf seperti h – s, m – n, f – s, b – d, b – p, j – g dan t – d. 

(iii) Disleksia visual (auditori) 
Disleksia jenis ini merupakan disleksia yang paling teruk kerana melibatkan kedua-dua deria iaitu deria penglihatan dan pendengaran. Ia melibatkan kesukaran mambaca yang amat teruk dan ini disebabkan oleh kelemahan untuk memproses tulisan secara visual dan audio.

PUNCA-PUNCA DISLEKSIA

Mengikut Mercer (1997), Hammond dan Hughes (1996) dan Spaafford dan Grosser (1996), antara punca-punya terjadinya disleksia ialah melibatkan tiga faktor iaitu keturunan atau genetik, biologi dan kematangan. 
i) Keturunan atau genetik 
Kebanyakan kes, terdapat beberapa ahli keluarga yang mengalami masalah-masalah yang sama. Kemungkinan punca ini boleh diwarisi yang membezakan adalah tahap keterukkannya. Terdapat kajian yang dijalankan telah membuktikan disleksia disebabkan oleh kromosom 15,1 dan 16 yang boleh diperturunkan secara turun temurun. 
ii) Biologi 
Pada kebiasaannya, sejarah kanak-kanak disleksia semasa dilahirkan adalah tidak cukup bulan, kekurangan oksigen semasa dilahirkan atau kelahiran yang amat sukar. Faktor-faktor ini menjadi punca kelambatan atau ketidaksempurnaan kepada perkembangan mereka. Sebahagian daripada kerosakan otak akan menyebabkan kanak-kanak ini mengalami masalah belajar dan kerosakan ini adalah minimum. 
iii) Kematangan 
Terdapat kanak-kanak yang lambat perkembangan pada bahagian tertentu dalam sistem saraf mereka. Pada kebiasaannya kanakkanak lelaki lambat matang berbanding kanak-kanak perempuan. Kelewatan kematangan pada kanak-kanak ini merupakan salah satu kemungkinan punca terjadinya disleksia. 
Menurut Rourke (1991), kanak-kanak yang mengalami disleksia mempunyai pelbagai defisit atau kekurangan yang disebabkan oleh kurang fungsian (dysfunction) otak. Bukan bermakna kanak-kanak itu mengalami kecederaan atau kerosakan di bahagian otak tetapi otak kanak-kanak disleksia beroperasi secara berbeza berbanding kanak-kanak normal yang lain. 
Menurut Galaburda dan Tallal (1991), sistem pemprosesan auditori dan visual pada otak individu yang mengalami disleksia selalunya lebih kecil sebanyak 27 % berbanding dengan individu normal.

LANGKAH MEMBANTU KANAK-KANAK DISLEKSIA

a) Membawa berjumpa dengan pakar pisikologi pembelajaran atau psikologi klinikal pada peringkat awal bagi tujuan menanganinya.
b) Membantu kanak-kanak memahami bahawa walaupun dia mungkin berbeza dalam banyak hal tetapi tetap disayangi.
c) Menambah dan menggalakkan sebarang kemahiran istimewa bakat atau kebolehan semulajadi
d) Sentiasa sabar melayani karenah mereka yang mana biasanya kecewa dengan kegagalan yang berterusan.
e) Membacakan cerita untuk anak-anak serta menjadi ahli persatuan sokongan ibu bapa
f) Memberikan bantuan dan latihan pembelajaran sebelum memasuki tadika.
g) Mengamalkan suasana kasih sayang serta bersikap prihatin dalam mengekalkan suasana harmoni
h) Membuat aktiviti berkeluarga serta memberi bimbingan dalam bidang akademik
i) Memberi kebebasan yang terbatas serta nasihat untuk mengenal identiti sendiri
j) Mengamalkan konsep diri diberi ganjaran atau pujian contohnya bagus, pandai


Video mengenai kanak-kanak disleksia



Rabu, 30 Mac 2016

Selamat Datang Ke Blog Saya

Bismillahirrahmanirrahim...

        Assalamualaikum dan salam sejahtera. Saya memanjatkan rasa kesyukuran kehadrat Ilahi kerana dengan limpah kurnia-Nya dapat juga dapat menyiapkan tugasan yang diberikan. Blog ini dijalankan untuk memenuhi tugasan yang diminta oleh pensyarah (En MD Yusoff Bin Daud), bagi Kursus GGGE2153, iaitu Teknologi Pendikan . Selain itu, blog ini dibina untuk mempromosikan dan memberi maklumat tambahan berkaitan Pendidikan Khas kepada masyarakat.

     Ribuan terima kasih saya ucapkan kepada individu penting yang banyak membantu kami sepanjang kami menyiapkan blog ini. Pertama sekali kepada En MD Yusoff Bin Daud kerana beliau telah banyak memberikan bimbingan, tunjuk ajar, dan semangat kepada saya untuk menyiapkan blog ini. Setinggi-tinggi penghargaan dan ribuan ucapan terima kasih kepada beliau.

     Selain itu, terima kasih juga diucapkan kepada ibu bapa saya yang sudi memberi dorongan dan motivasi semasa saya menyiapkan blog ini. Tidak lupa juga, kepada rakan-rakan, kerana sudi melawati blog ini dan memberikan sokongan serta dorongan kepada saya sepanjang blog ini dijalankan. 






Pengenalan Kepada Blog

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Blog ini ditubuhkan bagi memenuhi kursus GGGE2153 Teknologi Pendidikan. Blog ini merupakan blog pertama saya dan masih banyak perkara yang saya kurang mahir dan memerlukan tunjuk ajar dari orang-orang yang berpengalaman. Harapan saya, selepas anda berkunjung di blog ini diharapan dapat memperoleh beberapa ilmu walaupun sedikit. Sekian, terima kasih. =)