Bahagian Pendidikan Khas merupakan bahagian yang bertanggungjawab
terhadap pendidikan bagi murid berkeperluan khas menerusi Program Pendidikan
Khas. Program pendidikan untuk murid berkeperluan khas bermula sejak sebelum
merdeka bagi murid berkeperluan khas masalah penglihatan dan masalah
pendengaran. Penglibatan kerajaan dalam pendidikan murid berkeperluan khas
masalah penglihatan bermula dengan penubuhan Sekolah Pendidikan Khas Princess
Elizabeth di Johor Bahru di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat pada tahun 1948.
Manakala penglibatan kerajaan bagi pendidikan murid bermasalah pendengaran pula
bermula dengan pembukaan Sekolah Kanak-kanak Pekak Persekutuan di Pulau Pinang
pada tahun 1954. Selepas merdeka, kerajaan telah memperluaskan program
pendidikan khas ke sekolah-sekolah biasa melalui Program Pendidikan Khas
Integrasi (dahulu dikenali sebagai Program Percantuman).
Program Pendidikan Khas telah berkembang di bawah kelolaan
Kementerian Pelajaran Malaysia semenjak sistem pendidikan kebangsaan diwujudkan
pada tahun 1957. Satu unit khas yang dikenali sebagai Unit Pelajaran Khas telah
ditubuhkan pada tahun 1964, ditempatkan di Bahagian Sekolah KPM, sehinggalah
diganti dengan Jabatan Pendidikan Khas KPM mulai Oktober 1995. Dengan adanya
Jabatan ini di peringkat KPM, Jabatan-Jabatan Pendidikan Negeri (sekarang
Jabatan Pelajaran Negeri) telah mewujudkan Unit Pendidikan Khas di jabatan
masing-masing. Dengan penstrukturan semula KPM, Jabatan Pendidikan Khas kini
dikenali sebagai Bahagian Pendidikan Khas.